PUTRAJAYA: Tidak timbul isu layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan warga Indonesia di Depoh Tahanan Imigresen.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan isu sebenarnya adalah warga Indonesia itu ditahan atas kesalahan yang dilakukan.

"Saya nak maklumkan kalau lah saya nak mati kerana nak dimasukkan dalam depoh, maknanya hebat lah saya.

"Begitu juga pegawai-pegawai kita, apabila kita tahan maknanya dia melakukan kesalahan. Apabila seseorang yang melakukan kesalahan, dia mesti melalui proses undang-undang yang terpaksa kita gunakannya dan mengikut kaedah yang betul.

"Jadi kalau kita sudah tangkap orang melakukan kesalahan letak dalam depoh kemudian dia mati, kita nak salahkan pada siapa? Sebab orang mati sekarang ini kadang-kadang tengah berjalan dia mati, tidak payah masuk depoh pun mati.

"Jadi tidak timbul isu itu, isunya dia ditahan atas kesalahan yang dilakukannya," katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP COVID-19 (JKPS) pada Selasa.

Sebelum ini, Koalisi Buruh Migran Berdaulat mendedahkan laporan Seperti di Neraka: Kondisi Pusat Tahanan Imigrasi di Sabah Malaysia.

Kumpulan itu menyediakan laporan selepas menemubual lebih 100 bekas tahanan warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal mereka.

Koalisi itu juga menjangkakan kadar kematian bagi buruh migran Indonesia yang mengalami penyakit juga bertambah.

Koalisi Buruh Migran Berdaulat juga menyatakan 57 tahanan adalah kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memohon maaf atas kekeliruan dalam keterangan mengenai 149 tahanan asal Indonesia meninggal dunia di Depot Tahanan Imigresen di seluruh Sabah.

Sebaliknya menurut satu kenyataan, jumlah 149 itu adalah jumlah keseluruhan warganegara asing yang meninggal dunia sejak 2021 hingga Jun 2022.

Kenyataan itu juga menjelaskan pada tahun 2021, 18 tahanan Indonesia masing-masing 17 lelaki dan 1 wanita meningga dunia manakala tujuh tahanan iaitu enam lelaki dan satu wanita meninggal dunia dari Januari hingga Jun 2022.